DONATE

#UnlockYourStory: Nurin’s Journey

Published On

Hai, nama saya Nurin. Saya berumur 19 tahun dan sedang belajar di sebuah universiti. Anak ketiga dari 4 adik beradik.

Saya mendapat diagnosis Persistent Depressive Disorder sejak tahun lepas. Diagnosis dapat agak lambat sebab kekangan keluarga yang tidak memahami dan stigma masyarakat yang menebal.

Sejak kecil, saya seorang pendiam dan kerap menangis, dibuli dan mempunyai kawan yang sangat sedikit. Saya fikir itu benda biasa sebab orang dewasa tidak mengendahkannya.

Zaman remaja ialah zaman paling sukar kerana saya tidak dapat menyesuaikan diri dengan rakan sebaya. Tekanan keluarga, sekolah, isolasi dari rakan sebaya menyebabkan markah peperiksaan jatuh mendadak ketika berumur 15 tahun.

Saya jadi murung yang teruk dan berfikir ingin bunuh diri.

Ketika itu saya cuba mendapatkan pertolongan kaunselor sekolah tetapi perhatiannya berat sebelah berbanding rakan baik sendiri yang juga menghadapi masalah. Akibat tidak dapat meluahkan perasaan kepada sesiapa saya

mencederakan diri sebagai cara melepaskan tekanan selama setahun lebih.

Habis SPM secara sederhana, tekanan masih menjulang dan akhirnya saya merayu ingin berjumpa pakar kepada ibu bapa kerana asalnya mereka pandang sebelah mata pada umur 18 tahun. Saya tidak mampu menanggung derita lagi.

Ibu bapa yang tidak memahami mengambil masa 2 bulan untuk mengambil serius terhadap keadaan saya.

Alhamdulillah, berkat pengetahuan yang saya belajar tentang kesihatan mental dan tawakal kepada Tuhan, mereka perlahan-lahan menerima keadaan saya dengan hati terbuka.

Saya mendapatkan rawatan walaupun sukar kerana kekurangan pakar dan kemudahan psikologi di hospital kerajaan Malaysia. Sekurang-kurangnya ada perubahan yang baik berbanding sebelum ini. Saya rasa lebih tenang walaupun dalam pandemik Covid-19. Tekanan serta simtom kemurungan masih ada, tetapi saya mesti kuat menghadapinya.

Semoga perkongsian ini dapat memberi semangat kepada mereka yang ingin mendapatkan rawatan. Perjalanan yang sukar akan ada hikmah di sebaliknya.