[ARTIKEL] Sokongan rakan senasib dapat mengurangkan kemasukan semula ke unit krisis kesihatan mental

3 Ogos 2018 – Kajian terbaharu yang dijalankan oleh University College London (UCL) mendapati khidmat penjagaan kesihatan mental daripada pekerja sokongan (support worker) yang pernah mengharungi sendiri penyakit ini mungkin boleh membantu mengurangkan kebarangkalian pesakit yang baru keluar dari penjagaan kesihatan mental akut (acute mental health care) daripada dimasukkan semula ke unit berkenaan.

 

Kertas penyelidikan tersebut yang diterbitkan pada hari ini dalam jurnal The Lancet mendapati bilangan pesakit mental yang dimasukkan semula ke unit penjagaan akut dalam tempoh setahun ialah 24% jauh lebih rendah bagi kumpulan pesakit yang ditawarkan pekerja sokongan berbentuk rakan senasib, berbanding dengan kumpulan pesakit yang hanya diberi buku kerja pemulihan peribadi sahaja.

 

“Pesakit yang dibenarkan keluar (discharge) dari perkhidmatan krisis komuniti sering dimasukkan semula ke unit penjagaan akut. Ini bukan sahaja membantutkan pemulihan, malah menggunapakai sumber yang sepatutnya dikhususkan untuk penambahbaikan jangka panjang fungsi dan kualiti hidup pesakit. Pekerja sokongan daripada golongan rakan senasib berupaya memberikan sokongan dan dorongan yang benar-benar mesra dan berempati kerana ianya datang daripada pengalaman peribadi mereka sendiri, di samping menjadi contoh tauladan (role model) yang baik untuk pemulihan pesakit,” kata pengarang utama, Profesor Sonia Johnson (Psikiatri, UCL).

 

“Pekerja sokongan daripada golongan rakan senasib berupaya memberikan sokongan dan dorongan yang benar-benar mesra dan berempati kerana ianya datang daripada pengalaman peribadi mereka sendiri, di samping menjadi contoh tauladan (role model) yang baik untuk pemulihan pesakit.”

 

Di United Kingdom (UK), lebih separuh daripada jumlah pesakit yang dimasukkan ke unit penjagaan akut dimasukkan semula ke unit berkenaan dalam tempoh setahun, namun tiada bukti kukuh yang menjelaskan kaedah untuk mengurangkan jumlah ini.

 

Sebenarnya, sokongan daripada individu yang pernah mengalami masalah kesihatan mental telah dipraktikkan dalam program seperti Pelaksanaan Pemulihan melalui Perubahan Organisasi NHS (UK) dan juga Pelan Tindakan Pemulihan Kesihatan Amerika Syarikat. Penyelidikan ini merupakan ujian terkawal rawak pertama yang seumpamanya untuk menilai keberkesanan program sokongan rakan senasib. Walaupun begitu, masih banyak penyelidikan yang perlu dijalankan sebelum strategi ini boleh dilaksanakan secara menyeluruh di UK, contohnya untuk memahami sebab-sebab mengapa program ini berkesan.

 

Pastinya, campur tangan atau intervensi dalam pengurusan kendiri (self-management) mungkin boleh membantu pesakit menguruskan kesihatan mental mereka dengan lebih baik. Dalam kajian ini, penyelidik menyediakan peserta sama ada dengan buku kerja pemulihan peribadi sahaja (220 orang) atau buku kerja berserta bantuan pekerja sokongan rakan senasib (221 orang). Peserta juga dibenarkan meneruskan penjagaan biasa mereka.

 

Kajian ini dijalankan menerusi enam buah pasukan penyelesaian krisis kesihatan mental (crisis resolution team) di England dan peserta dipilih hanya selepas mereka dibenarkan keluar dari unit krisis oleh pasukan penyelesaian krisis. Peserta kajian terdiri daripada pelbagai diagnosis antaranya termasuk skizofrenia, bipolar, psikosis, kemurungan, kecelaruan keresahan, kecelaruan stres pascatrauma (PTSD), dan kecelaruan personaliti.

 

Peserta yang menerima sokongan rakan senasib ditawarkan 10 sesi pertemuan mingguan selama satu jam. Dalam sesi pertemuan ini, pekerja sokongan mendengar masalah peserta dan bermatlamat menyemaikan harapan dengan berkongsi kemahiran dan strategi pengurusan penyakit (coping strategies) yang dikuasai sewaktu mereka sendiri berada dalam proses pemulihan. Kesemua pekerja sokongan diberikan latihan terlebih dahulu dalam kemahiran mendengar, kesedaran budaya, pendedahan kendiri, dan kerahsiaan, serta cara menggunakan buku kerja.

 

Rakan senasib mampu memainkan peranan penting dalam memberi sokongan dan tauladan sepanjang proses pemulihan pesakit.

 

Rekod kesihatan peserta dipantau oleh penyelidik selama satu tahun untuk menentukan sama ada peserta dimasukkan semula ke unit penjagaan akut (seperti wad pesakit akut, pasukan penyelesaian krisis, rumah krisis, dan perkhidmatan penjagaan harian akut) atau tidak.

 

Selepas tamat tempoh satu tahun, kajian mendapati peratusan kemasukan semula ke unit penjagaan akut adalah lebih rendah bagi kumpulan peserta yang menerima intervensi berbanding dengan kelompok kawalan— dengan 29% peserta dimasukkan semula setelah menerima sokongan rakan senasib, berbanding dengan 38% peserta yang hanya menerima buku kerja.

 

Kadar penyerapan intervensi juga baik— 72% daripada peserta yang ditawarkan khidmat pekerja sokongan rakan senasib dan buku kerja menghadiri sekurang-kurangnya tiga sesi pertemuan, manakala satu pertiga menghadiri kesemua 10 sesi pertemuan.

 

“Kajian kami menunjukkan bahawa pekerja sokongan rakan senasib dapat membantu mengisi kelompangan ini dengan membantu pengguna perkhidmatan (pesakit) membangunkan strategi pengurusan kendiri dan pelan pemulihan dengan cara tersendiri dan lebih bermakna, seterusnya dapat membantu pesakit terus bertahan sesudah berlakunya sesuatu krisis.”

 

“Kami sedia maklum bahawa banyak pengguna perkhidmatan penjagaan krisis kesihatan mental merasakan perkhidmatan ini terhenti secara mendadak kerana kurangnya penjagaan susulan yang siap sedia. Kajian kami menunjukkan bahawa pekerja sokongan rakan senasib dapat membantu mengisi kelompangan ini dengan membantu pengguna perkhidmatan (pesakit) membangunkan strategi pengurusan kendiri dan pelan pemulihan dengan cara tersendiri dan lebih bermakna, seterusnya dapat membantu pesakit terus bertahan sesudah berlakunya sesuatu krisis,” kata pengarang bersama, Dr Brynmor Lloyd-Evans (Psikiatri, UCL).

 

“Kajian kami menghasilkan bukti paling kukuh tentang keberkesanan mana-mana program sokongan berasaskan rakan senasib dalam sektor penjagaan kesihatan mental sekunder UK. Penemuan baharu kami ini berpotensi tinggi kerana intervensi dapat diterima dengan baik oleh pesakit dan boleh dilaksanakan oleh pengurus perkhidmatan dan juga pesakit yang mahu mencegah relaps dan kemasukan semula ke unit penjagaan akut,” tambah Profesor Johnson.

 

Semasa kajian ini dijalankan, terdapat 71 kejadian kesan buruk, namun tiada satu pun yang dianggap berkaitan dengan kajian.

 

Kedua-dua pengarang ada menyebut bahawa peserta daripada kelompok kawalan sebahagian besarnya menggunakan buku kerja dan kadar kemasukan semula kelompok ini ke unit penjagaan akut adalah di bawah paras purata negara. Ini menyarankan kemungkinan buku kerja tersebut mempunyai keberkesanannya tersendiri dan ini juga bermakna sokongan rakan senasib dalam kajian ini mungkin telah dianggar kurang (under estimate) keberkesanannya.

 

Kajian ini dibiayai oleh National Institute for Health Research, dan dikendalikan oleh penyelidik dari UCL, Camden and Islington NHS Trust Foundation, University of Surrey, King’s College London, University of Sydney, University of Bristol, Avon and Wiltshire Mental Health Partnership NHS Trust, West London Mental Health Trust, dan Oxford Health NHS Trust Foundation.

 

PENGHARGAAN

Artikel ini telah diterjemahkan oleh saudari Rafizah Mat Zin untuk MIASA.

 

 

 

 

Leave a Reply