[BERITA] Hapuskan stigma penyakit mental

 

Sejak kebelakangan ini, semakin kerap masyarakat dikejutkan dengan kejadian-kejadian menyayat hati, memilukan dan menggemparkan yang berlaku kerana masalah penyakit mental. Antaranya, ibu yang menyembelih anak sendiri dan remaja yang membunuh diri dengan terjun ke dalam laut.

 

Apabila membaca kisah-kisah ini, kita memang tidak memahami mengapa individu tersebut tergamak melakukannya.

 

Penyakit mental merupakan penyakit psikologi, dimana simptomnya tidak dapat dilihat oleh mereka yang bukan pakar dalam bidang ini. Kesannya bukan hanya pada diri  pesakit itu sendiri, malah produktiviti dan hubungan dengan orang di sekitar, tetapi juga persepsi mereka terhadap diri sendiri.

 

Stigma mengenai penyakit mental membuatkan individu itu berasa malu, lemah dan tidak berdaya. Stigma ini yang menghalang mereka daripada mendapatkan pertolongan daripada profesional dan seterusnya memberi kesan kepada proses pemulihan dan menjejaskan kualiti kehidupan.

 

Menurut Presiden Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA), Anita Abu Bakar, persatuan ini berasa bertanggungjawab memperbetulkan salah tanggapan mengenai penyakit mental seperti kejadian yang banyak terjadi, juga dalam usaha melindungi pesakit dan keluarga mereka daripada menjadi mangsa stigma, diskriminasi dan ketidakadilan yang berpunca daripada kontroversi.

 

Persatuan ini merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai kesihatan mental yang diasaskan di Selangor pada September tahun lalu. Objektif MIASA adalah bagi mempromosi kesedaran tentang pentingnya kesihatan mental dan menyediakan sokongan pesakit dan penjagaan melalui pelbagai inisiatif.

 

Katanya, stigma berpunca daripada kurangnya pengetahuan dan kesedaran dalam kalangan masyarakat umum mengenai topik tersebut yang memburukkan lagi keadaan.

 

Jelasnya, kes-kes bunuh diri dan pembunuhan melibatkan pesakit mental seharusnya ditangani dengan bijak oleh masyarakat. Jika dilihat, seseorang pesakit itu lebih kepada menjadi mangsa keganasan daripada dia sendiri yang melakukan keganasan.

 

“Penyakit mental sering dilihat sebagai satu tabu, stigma dan diskriminasi. Banyak kes di media mengenai penyakit mental di mana pesakit tidak dapat mempertahankan diri.

 

“Kita sebagai anggota masyarakat sering mengatakan pesakit mental itu gila, otak tak waras, tak betul dan sebagainya. Ini membuatkan pesakit tersebut lebih tertekan.

 

“Profesional seperti pakar psikiatri forensik dan pakar psikologi forensik yang terlibat akan menentukan status penyakit mental bagi orang-orang yang terlibat dalam kes-kes tersebut,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di Damansara Perdana, Selangor, baru-baru ini,

 

Jelas Anita, MIASA sentiasa berdiri teguh pada solidariti bagi pesakit mental. Usaha persatuan ini adalah bagi mewujudkan kesedaran dan memberi sokongan serta mempunyai pengubat-pengubat spiritual dan perubatan moden, untuk bantuan pesakit mental serta memperjuangkan hak mereka.

 

“Pesakit mental memerlukan bantuan dari ahli keluarga, masyarakat dan media. Pun demikian, ramai pesakit mental berjaya dalam akedemik, perniagaan dan sebagainya.

 

“Pesakit mental yang diberi rawatan awal boleh berjaya dan pulih.

 

“Kepada semua, jika berasa anda atau orang yang anda sayangi mempunyai penyakit mental, dapatkan rawatan segera daripada pakar kesihatan mental bertauliah.

 

“Sekiranya anda ingin turut membantu dengan meluangkan masa dan tenaga atau ingin menderma bagi menyokong usaha kami meningkatkan kesedaran dan memberi sokongan, kami menerima dengan tangan terbuka.

 

“Hapuskan stigma, sokong usaha pemulihan dan memperkasa survivor,” kata Anita.

 

 

Statistik dari Pertubuhan Kesihatan sedunia (WHO) mendedahkan perkara berikut:

  • Setiap tahun sebanyak satu juta orang membunuh diri, bersamaan dengan satu kematian bagi setiap 40 saat. Diramalkan menjelang tahun 2020, kadar membunuh diri akan meningkat pada satu kematian bagi setiap 20 saat.
  • Membunuh diri adalah tiga punca utama kematian, selepas penyakit jantung dan kanser.
  • Pada tahun 2011, satu dalam 10 orang dikatakan mempunyai penyakit mental, tetapi pada 2016, angka ini meningkat pada satu dalam lima.
  • Di Malaysia, seorang pakar jiwa merawat seramai 200,000 orang pesakit.

 

 

 


– MERAN ABU BAKAR

Utusan Malaysia, Selasa 24/07/2018. Muka surat 21.

 


Leave a Reply