[PERKONGSIAN] Sekitar program “Family Link” anjuran MENTARI Selayang

SELAYANG, 14 April: MIASA Malaysia berkesempatan menyertai program Family Link anjuran MENTARI Selayang bertempat di Hospital Selayang. Beberapa buah NGO telah dijemput sama; di antaranya PSI, MYJICA, ME CARE, ERBA dan sukarelawan Hospital Selayang.

Selain ceramah mengenai kesihatan mental yang diberikan oleh doktor pakar psikiatri dan pegawai jurupulih carakerja (occupational therapist), terdapat juga perkongsian dari pesakit dan penjaga.

 

Memetik pengisian Dr. Nor Hidayah Jaris; Pegawai Perubatan Psikiatri Hospital Selayang, beliau menyatakan terdapat tiga faktor penyebab seseorang mendapat penyakit mental. Faktor tersebut ialah “predisposing factor”, “precipitating factor” dan “perpetuating factor”. Seseorang berisiko mendapat penyakit mental jika terdapat sejarah keluarga yang menghidap penyakit mental, status ekonomi individu yang merosot, terlibat dalam penyalahgunaan dadah, dan pengangguran. Ia merupakan rangkuman dari aspek biologi, personaliti dan sosial. Penyakit mental sukar untuk sembuh jika pesakit tidak mendapatkan rawatan untuk tempoh yang lama, kurang sokongan dari keluarga dan orang terdekat dan pesakit tiada “coping skill” yang berkesan.

 

Persoalan dari hadirin juga membuka minda peserta mengenai stigma penyakit mental di Malaysia masih tinggi berbanding negara luar, seperti Jepun dan Amerika Syarikat, di samping hak pesakit mental dari segi undang-undang sekiranya dibuang kerja kerana prestasi kerja yang merosot atau ketidakhadiran di tempat kerja.

 

Puan Anita membentangkan modul “Hak, Advokasi & Terus Maju ke Hadapan”.

 

PERKONGSIAN PESAKIT BIPOLAR DISORDER

Seterusnya, terdapat perkongsian dan temu ramah di antara Dr. Nor Hidayah dan pesakit Bipolar Disorder. Pesakit berkongsi perasaan dan keadaan beliau sebelum dan selepas menerima rawatan. Antara simptom yang beliau rasai ialah rasa ingin berkurung, fikiran negatif menyelubungi diri, tidur sepanjang hari dan rasa ingin mati. Beliau akhirnya dirujuk pada unit Psikiatri selepas empat kali berjumpa doktor dan menyatakan masalah yang dihadapi. Beliau menyatakan harapannya agar keluarga, rakan terdekat dan orang awam memberikan ruang dan memberi arahan yang mudah kepada pesakit.

 

Selain itu, beliau juga berkongsi teknik komunikasi yang berkesan dengan pesakit, iaitu dengan menggunakan teknik “I Statement”. Dalam teknik ini, kata ganti nama “awak” (you) digantikan dengan kata ganti nama “saya” (“I”). Sebagai contoh:

  • BETUL: “Ibu risau tengok awak tidur sepanjang hari. Nanti macam mana awak nak siapkan assignment?”
  • SALAH: “Awak ni asyik tidur je dari pagi sampai malam. Nanti fail pula sebab tak buat assignment”.

Walaupun intipati kedua-dua perbualan sama, namun penggunaan frasa yang tepat dapat menyampaikan mesej dengan baik kepada pesakit. Ini kerana contoh pertama mengandungi unsur empati (“Ibu risau tengok awak tidur sepanjang hari”), berbanding contoh kedua yang mengandungi unsur menghukum (“Awak ni asyik tidur je dari pagi sampai malam”).

 

*Nota daripada Admin: Maklumat lanjut mengenai teknik “I Statement” ini boleh didapati di link berikut: GoodTherapy.org.

 

MENANGANI KRISIS

Seterusnya, Dr Nurul Azreen Hashim (Pensyarah dan pakar psikiatri UiTM) membentangkan modul mengenai cara-cara menangani krisis. Menurut beliau, secara purata, pesakit mental yang bertindak ganas adalah kurang dari 5%. Ini juga merupakan stigma kepada pesakit mental kerana ramai beranggapan pesakit mental semuanya bertindak ganas. Secara realitinya, pesakit hanya akan bertindak ganas jika diprovokasi oleh seseorang kerana timbul keinginan untuk melindungi diri. Seterusnya, beliau membentangkan langkah-langkah pencegahan dan bertindak ketika menangani situasi tersebut. Sejurus itu, beliau menyatakan bahawa gangguan pada pola tidur pesakit adalah antara  perubahan paling ketara yang boleh diperhatikan. Beliau menambah bahawa penjaga juga perlu memerhatikan perubahan kelakuan dan emosi pesakit bagi memantau tahap kesihatan mereka.

 

PESAKIT BOLEH SEMBUH

 

Encik Azeril Jopril, Pegawai Jurupulih Carakerja MENTARI Selayang menyatakan setiap pesakit perlu percaya bahawa mereka mampu untuk sembuh. Pesakit perlu fokus pada kelebihan diri. Beliau berkongsi bahawa MENTARI Selayang mempunyai inisiatif membantu pesakit untuk mendapatkan pekerjaan melalui pelbagai program yang dijalankan di MENTARI. Seorang penjaga berkongsi pengalaman beliau berurusan dengan pihak MENTARI dan Hospital Selayang yang banyak membantu proses penyembuhan anaknya. Beliau turut berkongsi bahawa sokongan yang kuat, perhatian dan doa dari ibu bapa amat penting buat pesakit.

 

PESAKIT BOLEH MENYUMBANG KEPADA MASYARAKAT

Seterusnya, Puan Anita Abu Bakar; Presiden MIASA Malaysia telah menyampaikan modul Hak & Advokasi dan modul Terus Maju ke Hadapan. Beliau sebagai salah seorang pesakit anxiety berkongsi pengalaman dan kempen yang dijalankan MIASA di media sosial. MIASA juga aktif dalam menjalankan pelbagai program untuk pesakit. Selain itu, MIASA juga kerap muncul di radio dan televisyen untuk menyebarkan kesedaran mengenai penyakit mental. Beliau menyatakan bahawa pesakit mempunyai peluang untuk sembuh, menjadi produktif dan menyumbang pada masyarakat. Buktinya adalah program Sukan Rakyat yang dianjurkan oleh MIASA baru-baru ini, di mana pesakit-pesakit sendiri yang terlibat dalam proses persiapan dan juga acara sukan itu sendiri. Mereka juga boleh menyertai aktiviti riadah, sama seperti orang-orang yang tidak mempunyai penyakit mental. Ini merupakan pencapaian yang besar buat pesakit-pesakit mental.

 

Tontoni sedutan video ringkas berikut:

 

 

MANFAAT YANG DAPAT DIKUTIP

Sebagai peserta, saya dapat mengenali diri saya dengan lebih baik sebagai seorang pesakit. Saya juga belajar untuk berkomunikasi dan memahami orang lain dengan lebih baik.  Saya dapat melihat perspektif kesihatan mental dari sudut yang berbeza. Kesembuhan bukan hanya melibatkan ubat dan terapi, tetapi melibatkan usaha pesakit sendiri dan hubungan dengan Pencipta, alam dan orang sekeliling. Saya juga tidak merasa keseorangan dan tersisih kerana ada yang memahami dan mengalami perkara yang sama.

 

“Kesembuhan bukan hanya melibatkan ubat dan terapi, tetapi melibatkan usaha pesakit sendiri dan hubungan dengan Pencipta, alam dan orang sekeliling.”

 

SESI BERGAMBAR

Sebelum program berakhir, pengerusi majlis memberikan peluang untuk semua NGO yang hadir memperkenalkan NGO masing-masing beserta aktiviti, skop dan kumpulan sasaran. Peluang bertemu secara empat mata ini jarang sekali dapat dilakukan, dan MENTARI Selayang berjaya mengumpulkan pelbagai NGO kesihatan mental untuk berbincang mengenai idea usahasama yang boleh dijalankan di masa hadapan. Program diakhiri dengan foto beramai-ramai dan kunjungan ke booth ubat-ubatan yang disediakan oleh unit Farmasi.

 

Semoga program seperti ini dapat dijalankan lagi di masa hadapan untuk memupuk kesedaran masyakarat mengenai kepentingan kesihatan mental.

 

 


– Terima kasih kepada saudari ‘Aqilah Misland, ahli MIASA yang menyertai program Family Link yang sudi berkongsi pengalaman dengan para pembaca! Didoakan semoga saudari ‘Aqilah diberi ganjaran kebaikan yang berlipat kali ganda. Amin.

Leave a Reply